HALAMAN TIDAK DIJUMPAI

Perutusan Dekan

 

Selamat Datang ke Laman Web Rasmi Fakulti Sains. Fakulti Sains mula ditubuhkan sebagai Bahagian Sains Asas pada tahun 1972 dan telah melalui beberapa proses penstrukturan semula dan sekarang ini Fakulti Sains terdiri daripada empat jabatan iaitu: Jabatan Biologi, Jabatan Kimia, Jabatan Matematik dan Jabatan Fizik. Visi kami adalah selaras dengan salah satu objektif UPM, iaitu untuk menjadi pusat pendidikan, penyelidikan dan pengembangan dalam bidang sains yang terbilang.

Sebagai sebuah fakulti di sebuah universiti penyelidikan, Fakulti Sains bersedia membentuk dan mencorak pelajar supaya menjadi graduan sains yang berfikiran kritis dan kreatif dan bersedia untuk menghadapi pasaran kerja, atau melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah. Program prasiswazah direka untuk memberikan asas yang kukuh dalam bidang teras dan untuk membentuk perspektif saintik. Pengetahuan dan kemahiran disampaikan kepada pelajar oleh pegawai akademik yang cukup terlatih dan berpengalaman, menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dan berkesan serta disokong oleh kemudahan yang terkini.Fakulti juga menawarkan program pascasiswazah dalam pelbagai bidang sains asas dan gunaan. Program siswazah ini menyediakan graduan untuk menjadi saintis yang terlatih dalam bidang yang dipilih.

Kualiti pensyarah kami dan penyelidikan yang dijalankan di Fakulti mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Setiap tahun pegawai akademik menerbitkan ratusan artikel penyelidikan dalam jurnal dan memenangi banyak anugerah penyelidikan. Fakulti juga adalah di antara penerima geran penyelidikan yang terbesar di UPM dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki rekod yang telah dicapai.

Terima kasih kerana melawati laman web kami.

 

PROF. MADYA DR. NOR AZWADY ABD. AZIZ
Dekan, Fakulti Sains